Kelahiran Yang Selamat vs. Kelahiran Yang Selesa; Yang Mana Satu Pilihan Hati?




  • Artikel ini ditulis sebagai respon terhadap gerakan dan individu yang mempromosi cara kelahiran alternatif berbanding khidmat perbidanan arus perdana yang disediakan oleh autoriti kesihatan Malaysia buat masa kini. Yang saya maksudkan sebagai method kelahiran alternatif ini adalah merujuk kepada method home birth, Amani birth, gentle birth, hypno birth, lotus birth, natural birth, pool birth dan semua method yang bersamaan dengannya.

    Terdapat 2 persamaan dalam kesemua method perbidanan alternatif yang dinyatakan sebelum ini;

    PERTAMA, kesemuanya tidak berdaftar dengan pihak autoriti kesihatan Malaysia; maka standard ilmu, kemahiran, latihan dan keupayaan sangat diragui malah membahayakan. Lebih malang jika mereka mendakwa mereka pakar dalam bidang perbidanan hanya dengan beberapa jam/hari seminar atau tutorial online.

    Jika berlaku kecelakaan akibat perawatan atau nasihat para bidan alternatif (atau digelar doula) ini, mungkin mereka dengan senang hati melepaskan diri kerana kita tiada akta atau kod untuk mendakwa mereka di sisi undang-undang, apatah lagi mereka sememangnya tidak berdaftar. Namun di sisi agama mereka dikira bertanggungjawab. Sebagaimana mafhum hadis Riwayat Abu Daud & Nasaei;

    من تطبب ولم يعلم منه طب فهو ضامن

    “Sesiapa yang merawat dan tidak tahu ilmu mengenainya (ilmu perubatan), maka dia dipertanggungjawabkan”.

    Imam Abu Daud dan Daruquthni meletakkan hadis ini dibawah Bab ‘Diyat’ iaitu ganti rugi ke atas nyawa yang terkorban. Kerana itu sebahagian ulama apabila mensyarahkan hadis ini memberi isyarat bahawa seorang doktor yang tiada kemahiran sehingga menyebabkan kematian atau kecacatan, maka dia harus dipertanggungjawabkan dengan membayar ‘diyat’ atau ganti rugi.

    KEDUA, persamaan kesemua method perbidanan alternatif ini ialah kesemuanya fokus kepada aspek KESELESAAN ibu semata-mata, sehingga mengabaikan perihal KESELAMATAN ibu dan bayi. Method ini pastinya menjadi tarikan buat wanita yang lumrahnya romantis dan lemah lembut. Maka mereka terpersona dengan desakan ini demi keselesaan, jauh dari hiruk pikuk dewan bersalin atau operation theatre di hospital. Kononnya mereka boleh relax dengan muzik, santai di dalam kolam, bau aromatherapy, diulik hypnotherapy dan diusap suami semasa bersalin, siapa yang tidak mahu?

     

    Wanita Bersalin Dianggap Syahid

    Namun proses bersalin bukannya perihal enteng walaupun ia lumrah seorang wanita. Kerana itu dalam tradisi Islam, wanita yang meninggal semasa bersalin dianggap syahid (dalam Hadith Riwayat Ahmad & Abu Daud). Di zaman moden pula, seorang doktor menghabiskan 10-15 tahun untuk menjadi pakar Obstetrik & Ginekologi. Satu kematian ibu atau anak dianggap satu kegagalan dalam servis perubatan kini dan memerlukan inkuiri ‘Mortality Review’.

    Hakikatnya, setiap kehamilan dan kelahiran ada risikonya. Samada ibu mempunyai masalah kesihatan semasa mengandung seperti darah tinggi dan diabetes, ataupun janin mempunyai masalah tertentu seperti bayi besar, bayi songsang atau uri di pangkal rahim (placenta previa). Semasa bersalin pula aspek 3P (Power, Passage & Passenger) perlu diambil perhatian. Kandungan yang selama ini normal boleh saja menjadi satu kecemasan dan memerlukan intervensi pakar dan pembedahan Caesarean semasa proses bersalin contohnya dalam kes bayi mula mengeluarkan najis dalam rahim (meconium aspiration), bahu tersangkut (shoulder dystocia) atau jatuh tali pusat (cord prolapse).

    Ilmu Kemahiran Perbidanan Berkembang

    Lantaran itu ilmu dan kemahiran perbidanan moden hari ini berkembang seiring dengan perkembangan tamadun manusia itu sendiri. Manusia melihat masalah sebegini sebagai ancaman kepada nyawa ibu dan bayi lantas memformulasi pelbagai kaedah perbidanan, ubat dan pembedahan yang telah terbukti berkesan dan menyelamatkan kedua-dua nyawa ibu dan anak. Makanya ilmu perbidanan moden ini adalah suatu yang alami, universal dan intrinsic (berakar umbi) dari tamadun manusia itu sendiri, bukannya suatu perkara yang asing, kebaratan atau bersumber Israeliyat (Yahudi).

    Kemajuan Perbidanan Di Negara Kita Memastikan Kelahiran Selamat Buat Ibu Dan Bayi

    Kemajuan dan pencapaian bidang perbidanan moden yang diamal di hospital di negara kita ini hanyalah semata-mata memastikan kelahiran yang SELAMAT buat ibu dan bayi. Dari perspektif Syarak atau Maqasid Syariah pula, usaha memastikan KELAHIRAN YANG SELAMAT adalah menepati Maqasid yang utama iaitu Maqasid Dharuriyat (Keperluan Asasi) yang wajib dijaga seperti Nyawa (Nafs), Intelek (Aqal), Keturunan (Nasl) dan Harta (Mal).

    Akibat sikap sambil lewa dan ketidakmahiran bidan alternatif seperti doula, aspek Maqasid Dharuriyat ini mungkin saja dilanggar sehingga berlaku kematian ibu dan anak (mudarat pada nyawa – Nafs, kematian/kecacatan zuriat keturunan – Nasl) atau anak dilahir mengalami Hypoxic Ischemic Encephalopathy, cacat otak dan mengalami Cerebral Palsy (mudarat pada intelek – Aqal, Keturunan – Nasl) yang akhirnya menjejaskan ekonomi keluarga dan negara akibat kematian ibu atau penjagaan kesihatan akibat komplikasi bersalin (mudarat pada Harta – Mal).

    Namun tidak dinafikan KESELESAAN ibu yang sedang melahirkan juga penting. Servis perbidanan moden juga mengambil kira hal ini dalam 2 lagi aspek P iaitu Patient (fizikal ibu) dan Psychology (mental ibu). Bagaimanapun di sisi Maqasid Syariah ianya jatuh ke peringkat ketiga iaitu Maqasid Tahsiniyyat, suatu keperluan bukan mendesak, yang sekadar mewujudkan keselesaan dan kesempurnaan.

    Awlawiyat

    Awlawiyyat (prioriti) dari sudut Maqasid Syariah adalah mengutamakan KESELAMATAN (Dharuriyat) berbanding KESELESAAN (Tahsiniyyat). Bersalin itu satu perjuangan (jihad), tiada masalah dan salah jika harus dikorbankan sejenak KESELESAAN demi KESELAMATAN anak dan ibu yang lebih utama. Tiada ibu yang menderita bersalin selamanya seumur hidup. Purata wanita bersalin sekarang pula tidak lebih 7 anak.

    Jika ada pusat bersalin yang boleh menjamin KESELAMATAN dan KESELESAAN, itu suatu bonus buat kaum ibu dan suami. Saya percaya situasi khidmat perbidanan semasa negara kita mengutamakan KESELAMATAN semasa kehamilan dan bersalin, dan seboleh mungkin meraikan KESELESAAN berdasarkan sumber yang terhad. Namun jika ada kaum ibu yang memilih KESELESAAN melaumpaui KESELAMATAN sehingga melanggan bidan alternatif di rumah yang tidak terjamin kemahiran dan kelengkapannya, maka itu suatu yang aneh dan patut dikesali.

    Maka fikirkanlah, antara bidan alternatif tak berdaftar dan tak terlatih berbanding khidmat doktor pakar dan jururawat terlatih; antara rumah yang tiada kelengkapan berbanding hospital yang ada kelengkapan Operation Theatre, Neonatal Peadiatric dan Blood Bank; antara dakwaan omong kosong berbanding khidmat perbidanan yang terbukti dari Evidence Based Medicine; antara kebodohan, degil atau ego berbanding penyesalan seumur hidup akibat kehilangan insan tercinta; antara KESELESAAN sementara berbanding KESELAMATAN nyawa anda dan anak; Yang mana satu pilihan hati?

    Dr Ahmad Faidhi Mohd Zainiwww.fiqhmedic.com

    Sumber dari FB Medical Mythbuster Malaysia

    This post was created with our nice and easy submission form. Create your post!

    What do you think?

    12 points
    Upvote Downvote

    Total votes: 0

    Upvotes: 0

    Upvotes percentage: 0.000000%

    Downvotes: 0

    Downvotes percentage: 0.000000%

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *