Adakah Doktor Pelatih Itu Seorang Pelajar?

Doktor pelatih sering menjadi mangsa buli oleh netizen. Masyarakat sebenarnya yang perlu lebih bersabar dan berlapang dada.

doktor pelatih houseman
Gambar EPA, 1 Julai, 2017



  • Doktor Pelatih atau lebih dikenali sebagai houseman, yang baru sahaja pulang dari menamatkan pengajian dalam fakulti perubatan di universiti masing-masing baik dalam negara mahu pun di luar negara telah mula mendaftar dan menjalankan tugas-tugas mereka di hospital-hospital di serata negara.

    Bagi mereka yang tidak tahu, houseman ialah doktor pelatih yang baru sahaja menamatkan pengajian dari mana-mana sekolah perubatan dan berada dalam satu tempoh pemerhatian dan penilaian sebelum mereka boleh dilepaskan untuk berkhidmat dan bertanggungjawab penuh di atas segala keputusan yang dibuat terhadap pesakit. Housemanship pula adalah satu proses di mana doktor pelatih akan menterjemah apa-apa yang dipelajari semasa berada di sekolah perubatan ke dalam bentuk praktikal. Inilah masanya untuk mereka mengaplikasikan apa yang telah dipelajari kepada dunia sebenar. Dan kini mereka akan menjalani latihan itu sebagai doktor pelatih kontrak.

    Houseman ini akan ditempatkan ke enam posting dalam tempoh dua tahun – Jabatan Perubatan Am, Jabatan Pembedahan Am, Jabatan Orthopedik, Jabatan Paediatrik, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, dan juga Jabatan Kecemasan.

    Namun mereka seringkali menjadi mangsa kepada isu-isu viral yang sebenarnya boleh diselesaikan jika kita sebagai masyarakat berlapang dada, bertanya dengan elok dan di saluran yang betul, dengan niat untuk membantu kita dan mereka memahami situasi. Kami bawakan pendapat Dr JP yang ingin berkongsi, siapakah sebenarnya doktor pelatih ini.

    Benarkah doktor pelatih itu tidak kompeten? Adakah mereka masih belum habis belajar? Mari kita baca dengan teliti dan sabar, siapakah sebenarnya mereka ini yang bakal membantu kita dan anak cucu kita.

     

    Lensa minggu ini akan mengupas serba sedikit tentang doktor pelatih bagi membetulkan salah faham tentang doktor pelatih atau pegawai perubatan siswazah yang semakin menjadi-jadi dalam masyarakat kita. Adakah doktor pelatih itu seorang pelajar ijazah perubatan yang belum tamat pengajiannya?

    1. Doktor pelatih yang menjadi mangsa kritikan akhir-akhir ini adalah doktor yang mempunyai ijazah perubatan atau perubatan dan pembedahan dari universiti yang diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia bagi tempoh pengajian selama 6 – 7 tahun. Mereka sah dilantik oleh SPA dengan jawatan Pegawai Perubatan Siswazah, gred UD41. Mereka bukanlah pelajar perubatan dan membuat eksperimen tiada dalam skop kerja mereka seperti yang tersebar dek khabar angin. Doktor pelatih tidak sama dengan pelatih lain seperti cikgu dan jurutera pelatih yang masih belum tamat pelajarannya. Kewujudan jawatan doktor pelatih ini adalah sah dan mengikut Akta Perubatan. Mereka diberi sijil dan nombor pendaftaran sementara oleh Majlis Perubatan Malaysia atas tujuan tersebut.

    2. Doktor-doktor pakar yang ada pada hari ini di seluruh dunia pernah dan wajib menjadi doktor pelatih sebelum mereka layak menjadi doktor pakar. Skop kerja mereka adalah sama seperti doktor pelatih pada hari ini dan jenis kesilapan juga lebih kurang sama seperti yang berlaku pada hari ini malah mungkin lebih teruk disebabkan oleh pelbagai faktor seperti kekurangan doktor dan fasiliti mundur pada masa tersebut. Berbekalkan pengalaman mereka sebagai doktor pelatih, mereka mula mengorak langkah menyambung pelajaran dan akhirnya berjaya menjadi doktor pakar dan pakar perunding kanan.

    3. Setiap tugasan yang dilakukan oleh doktor pelatih adalah terkandung dalam buku log mereka dan mestilah dibuat dengan pengawasan serta dilengkapkan. Ianya termaktub dalam Akta Perubatan dan Majlis Perubatan. Pindaan sudah dibuat dan telah digazetkan. Kebenaran dan arahan tugasan mereka termaktub dan dilindung oleh undang-undang. Jika anda tidak bersetuju dengan arahan dan kebenaran tugasan mereka, anda perlulah melalui saluran yang betul dan bukannya dengan mempersoalkan kebenaran yang diberikan kepada mereka.

    4. Dakwaan kononnya berlaku lambakan doktor pada penulis adalah kurang tepat dan meleset. Apa yang berlaku adalah kita masih kekurangan doktor pakar bagi menjadi penyelia dan kita masih kekurangan hospital mengajar (teaching hospital) dan secara keseluruhannya kita masih kekurangan doktor. Jadi doktor-doktor pelatih di atas hanya akan diletakkan di hospital-hospital mengajar yang cukup bilangan pakar, jabatan klinikal dan syarat-syarat yang lain atau hospital mengajar. Anda tidak akan berjumpa doktor pelatih di hospital biasa dan di klinik kesihatan yang tiada pakar. Sebab itu anda akan mendapati begitu ramai doktor di hospital besar dan kerajaan masih berterusan dalam usaha menambah bilangan hospital mengajar dan jumlah doktor pakar.

    .. kita masih kekurangan doktor pakar bagi menjadi penyelia dan kita masih kekurangan hospital mengajar dan secara keseluruhannya kita masih kekurangan doktor.

    5. Doktor pelatih (houseman) ini akan melalui pusingan di enam jabatan klinikal utama dan mereka akan dinilai di setiap jabatan. Jika tidak memuaskan, tempoh latihan akan dilanjutkan dan jika masih tidak memuaskan, mereka mungkin akan ditukar hospital dan tindakan boleh berlarutan sehinggalah kepada penamatan lesen. CME (Continuous Medical Education) atau pembelajaran perubatan berterusan (lecture) dan audit dalaman sentiasa dilakukan bagi menambah pengetahuan dan menjaga mutu servis perawatan. Doktor pelatih juga dikehendaki menghadiri kursus-kursus perubatan dan ada yang diwajibkan seperti NRP, BLS dan lain-lain lagi.

    6. Doktor pelatih ini kebiasaannya akan datang bekerja seawal 6:30 pagi dan pulang pada pukul 5 petang jika shift office hour, pulang pada pukul 10 malam jika extended shift dan pulang pada pukul 12 tengah hari keesokan harinya jika shift on-call.

    Kesimpulannya, doktor pelatih ini adalah pegawai kerajaan dan sekumpulan manusia yang perlu dilayan seperti manusia. Kebiadaban dan penolakan berterusan anda terhadap doktor pelatih ini mungkin akan menyebabkan kita akan kekal mundur dalam modal insan.

    Anda membayar RM 1-5, anda belajar menghormati dan bertanya, jika terdapat aduan, salurkan kepada pihak yang betul, ianya satu amalan yang lebih baik. Mungkin suatu hari nanti anak anda yang menjadi doktor pelatih dan mendapat penghinaan yang sama, renungkan. Akhir sekali, elakkan penambahan dosa dengan memfitnah dan menyebar fitnah. Terima kasih.

    Sumber, dengan izin: Dr JP

    Begitu banyak masalah dan kemalangan yang menimpa wira-wira kita dalam bidang ini. Ia adalah bidang yang demanding dan pada masa yang sama, rewarding.

     

    Maka wajarlah kita sebagai manusia berbudi, meluangkan sedikit masa dan sabar untuk menghargai mereka yang bersungguh-sungguh ingin membantu kita tanpa mendapat sedikit pun imbuhan tambahan.

    Pada 9 Mei 2017, sebuah kemalangan maut telah menimpa Almarhumah Dr Nurul Huda Ahmad yang bertugas di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM). Dr Nurul sedang dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu untuk bertemu dengan suaminya dan 3 cahaya matanya. Beliau baru sahaja selesai bertugas selama 33 jam.

    Sungguh pun kerajaan sedang bersungguh-sungguh ingin membantu meringankan tugasan para doktor, para doktor juga masih memerlukan latihan secukupnya maka kita sebagai masyarakat wajar membantu mereka juga. Pesakit adalah guru yang terbaik untuk mereka. Siapakah pesakit itu? Kitalah!

    What do you think?

    0 points
    Upvote Downvote

    Total votes: 0

    Upvotes: 0

    Upvotes percentage: 0.000000%

    Downvotes: 0

    Downvotes percentage: 0.000000%